Wednesday, February 24, 2010

SUARA INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM)

[GAMBAR HIASAN]

Syaitan gunakan nyanyian, muzik sesatkan manusia
Abu Bakar Yang
Pegawai Penyelidik, Institut Kefahaman Islam Malaysia


SENI suara adalah di antara rekreasi digemari dan berkembang pesat di Malaysia. Seni suara sama ada bunyi-bunyian, muzik dan nyanyian adalah sebahagian daripada budaya hidup manusia. Setiap bangsa mempunyai seni suara tersendiri. Umumnya, seni suara untuk mendapat hiburan dan keseronokan.

Al-Quran juga menerangkan mengenai bidang seni suara. Contohnya, firman Allah dalam surah Lukman, ayat ke 6, bermaksud:

"Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari agama Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan agama Allah itu sebagai ejekan. Mereka berhak menerima azab yang hina."

Kebanyakan ulama tafsir berpendapat bahawa 'laghwa al-hadith' ialah nyanyian. Dan seterusnya Allah berfirman dalam surah al-Isra', ayat 64, bermaksud:

"Pujuklah (wahai iblis) siapa yang engkau mampu di antara mereka dengan menggunakan ajakanmu (sawtika)."

Mujahid menjelaskan ajakanmu (sawtika) dalam ayat ialah nyanyian dan serunai. Seterusnya dalam surah Syu'ara ayat 224 - 227, Allah berfirman, bermaksud :

"Dan penyair-penyair itu diikuti oleh golongan yang sesat. Tidaklah kamu perhatikan mereka merayau-rayau di tiap-tiap lembah dan mereka memperkatakan apa yang mereka tidak lakukan kecuali orang yang beriman dan beramal salih, banyak mengingati Allah serta mereka membela diri selepas dizalimi. Dan orang yang zalim akan mengetahui ke tempat mereka akan kembali."

Apa yang dapat difahamkan dalam ayat di atas bahawa Allah mengutuk nyanyian yang digunakan untuk menyesatkan manusia daripada agama-Nya.
Begitu juga syaitan menggunakan media nyanyian dan muzik untuk melalaikan manusia daripada tanggungjawabnya terhadap agama Allah.

Seterusnya Allah mengecam penyair tidak beriman dan menjalankan kegiatan hidupnya tanpa matlamat, berusaha menyesatkan orang ramai dan mencari pengaruh dengan menggunakan syairnya. Tetapi penyair beriman dan beramal salih serta sentiasa menjalankan tanggungjawab agama dengan baik, tidak termasuk dalam golongan yang dikutuk oleh Allah.

Ini kerana syair mereka mengajak orang ramai kepada kebaikan.
Selain itu, ada hadis yang menerangkan kedudukan seni suara. Contohnya, Termizi meriwayatkan daripada Aisyah, katanya Rasulullah saw bersabda maksudnya: "Isytiharkanlah perkahwinan ini dan akadlah di masjid serta palulah rebana."

Sejarah Islam juga menceritakan bagaimana gendang digunakan untuk menaikkan semangat pejuang Islam apabila berada dalam peperangan.
Daripada hadis dan sejarah di atas jelaslah bahawa nyanyian dan bunyian boleh diadakan dalam majlis perkahwinan. Begitu juga pada hari perayaan dan kebesaran tertentu serta peperangan.

Imam al-Ghazali berpendapat bahawa mendengar nyanyian ada yang harus dan sunat. Selain itu, ada pula yang haram. Nyanyian yang haram disebabkan oleh lima perkara yang mencorakkannya iaitu penyanyi, alat muzik yang digunakan, susunan kata, tanggapan pendengar terhadap nyanyian dan pendengar orang awam.

Sheikh Mahmud Shaltut, bekas Sheikh Al-Azhar berpendapat bahawa mendengar suara indah dan merdu sama ada daripada binatang, manusia atau apa-apa alat atau ada kecenderungan untuk mempelajari sesuatu daripadanya adalah keinginan untuk memenuhi tuntutan nalurinya. Selama perkara itu tidak melalaikannya daripada kewajipan agama, bersesuaian dengan nilai akhlak dan bersesuaian pula dengan kedudukannya, maka ia diharuskan.

Apabila membincangkan mengenai seni suara perkara seperti susunan kata yang haram; kedudukan penyanyi perempuan; masa persembahan nyanyian yang menghalang kewajipan agama atau melalaikan orang; majlis yang disertai minuman haram; percampuran lelaki dan perempuan dan kesan nyanyian kepada pendengar tertentu yang membawa kepada berkelakuan buruk hendaklah diambil-kira.

Begitu juga syarat lain yang perlu dipenuhi seperti niat; tiada unsur yang bercanggah dengan akidah seperti syirik, kufur dan nifak; tidak bercanggah dengan syariat Islam seperti haram dan syubahat.
Tidak meninggal dan melalaikan kewajiban yang difardukan oleh Allah.
Menutup aurat, sentiasa menjaga adab pergaulan, tiada unsur perjudian (pertaruhan) dan tidak berlaku pembaziran.
Juga tujuannya hendaklah betul, seperti untuk kesihatan, ketenangan dan kepuasan, jalan untuk taqarub dan mencapai keredaan Allah.
Menjalin hubungan sesama manusia dan mesra alam.

Sewajarnya tidak menjadi kesalahan jika keinginan menyemarakkan Islam mengambil kira dan memastikan segala bidang hidup dihiasi dengan unsur Islam, termasuk seni suara dengan segala kebaikan dan kehalusan seninya.

Ini kerana berdasarkan fakta sejarah, bahan dan bidang untuk kesenian dalam Islam adalah luas.

0 comments:

Post a Comment

Design by Abdul Munir
Visit Original Post Tas Murah Template